Babak Negara Ombak Momochi_Zabuza

Zabuza diupah oleh Gato untuk membunuh seorang pembina jambatan, Tazuna. Maka, dia menghantar dua orang pengikutnya untuk menyelesaikan tugas tersebut. Tetapi, apabila mereka berdua berjaya ditewaskan oleh pengawal Tazuna, Zabuza berkeputusan untuk melaksanakan misi ini sendiri. Setelah mengetahui bahawa Hatake Kakashi dan pelajar-pelajarnya sedang melindungi Tazuna, Zabuza mencabar Kakashi untuk bertarung dengannya.

Apabila pertarungan bermula, Zabuza berjaya memerangkap Kakashi dengan 'Suirō no Jutsu, 水牢の術' (Jurus Penjara Air). Oleh sebab Zabuza perlu berada berhampiran dengan Kakashi untuk membolehkan jurus ini berfungsi, Zabuza menghasilkan klon air untuk membunuh Tazuna dan pelajar-pelajar Kakashi. Tetapi, Uzumaki Naruto dapat menyerang hendap Zabuza dengan menyamar sebagai shuriken lalu membebaskan Kakashi daripada jurus Zabuza. Kakashi menyambung semula pertarungannya dengan Zabuza. Dengan menggunakan Sharingan, Kakashi meniru 'Suiton: Daibakufu no Jutsu, 水遁・大瀑布の術' (Elemen Air: Jurus Air Terjun Mega) yang akan digunakan oleh Zabuza.

Sejurus sebelum Kakashi membunuh Zabuza, Haku yang menyamar sebagai ninja pemburu menikam leher Zabuza dengan dua patah jarum. Haku kemudiannya melarikan badan Zabuza dan merawat kecederaannya selepas Zabuza menyedarkan diri. Tetapi, Zabuza perlu berehat selama seminggu dan selepas itu, dia merancang untuk membunuh Kakashi dan Tazuna.

Seminggu kemudian, Zabuza dan Haku muncul semula di hadapan Pasukan 7. Zabuza bertarung dengan Kakashi manakala Haku berdepan dengan pelajar-pelajarnya. Zabuza telah membuat persiapan awal bagi mengatasi Sharingan. Dia menyelubungkan medan pertarungan dengan kabus yang tebal. Kakashi yang tidak berupaya melihat tindak-tanduk Zabuza berjaya dilukakan oleh pedang Zabuza. Tetapi, Kakashi sebenarnya berniat untuk dicederakan oleh Zabuza. Kakashi menyeru anjing ninjanya dan mengarahkan mereka menjejaki Zabuza berdasarkan bau darah Kakashi pada pedang Zabuza. Anjing-anjing tersebut berjaya membuat demikian dan menyerang Zabuza sekaligus mengunci pergerakannya. Kakashi membuat persediaan untuk membunuh Zabuza dengan Chidori.

Sebelum Chidori sempat mengenai dada Zabuza, Haku masuk campur dan mengorbankan dirinya dengan menerima Chidori untuk menyelamatkan nyawa tuannya. Zabuza tidak mahu pengorbanan Haku disia-siakan. Maka, dia cuba menikam Kakashi menerusi mayat Haku. Kakashi berjaya mengelak dan kemudiannya menikam kedua-dua tangan Zabuza. Pada ketika itu, Gato muncul di tempat kejadian dan merasakan misi ini mengambil masa yang terlalu panjang. Oleh itu, Gato mahu membunuh Zabuza dengan bantuan pengikut-pengikut peribadinya.

Zabuza tidak lagi mempunyai sebab untuk membunuh Tazuna dan menamatkan pertarungannya dengan Kakashi. Naruto menengking Zabuza kerana tidak berasa kesal atas kematian Haku yang sanggup mati demi tuannya. Zabuza, dalam linangan air mata, mengaku bahawa dia telah menganggap Haku lebih daripada 'alatan' semata-mata dan amat menghargai kehadirannya. Untuk menebus segala perbuatan zalimnya, Zabuza menggigit kunai Naruto dan cuba membunuh Gato. Tetapi, dia sendiri telah ditikam beberapa kali oleh para pengikut Gato. Selepas menolak Gato jatuh dari jambatan, Zabuza rebah. Pengikut-pengikut di sana melarikan diri. Zabuza kemudiannya meminta Kakashi untuk meletakkannya di sebelah Haku; Zabuza mahu menemani Haku sebagaimana Haku sentiasa berada di sampingnya. Zabuza meluahkan hasratnya untuk ke tempat yang akan dituju oleh Haku selepas ini sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kakashi percaya bahawa mereka berdua akan bersua semula di tempat tersebut.